Saturday, 10 January 2015

Update 34 minggu mengandung

Salam semuaa ;)

Saya nak share tentang apa yang berlaku dengan diri saya sekarang..menuju late trimester dah ni..

Minggu lepas pergi check up kat pakar, masa ni 34 minggu 4 hari. Scan baby berat 2.4kg, kepala dah di bawah, air ketuban 14cm (normal), uri di atas. Berat mommy plak dah 69.1 kg haha.. Naik 1kg dalam 2 minggu.. So far takde masalah apa2, alhamdulillah..;)

Saya masih bole tidur lena setiap malam, syukur.. Semasa mengandung dalam 6-7 bulan gitu, saya dan hubby sepakat nak beli set katil dan tilam untuk master bedroom kami. Sebelum ni kitorang tidur kat another room dalam rumah baru tu, sebab memang dah niat nak beli perabot baru untuk master bedroom. So kitorang pakai je lah tilam lama (spring) yang dibeli sejak saya belum kahwin lagi.Tilam tu letak atas katil dalam bilik tetamu. Tapi hubby mengadu tilam tu agak melendut kat tengah, so bila bangun pagi2 dia akan rasa sakit belakang. Tapi saya yang dah 4-5 bulan mengandung time tu takde pulak rasa sakit apa2 hehe.. So delay punya delay, masa mengandung 7 bulan kot baru la beli set bilik tidur baru. Hubby yang pilih, dia nak tilam foam 9 inches. Katanya bagus sebab spring lama2 dia kan melendut jugak tapi foam tidak. Saya tak tahu apa2, layan kan saja hubby cakap tu haha. Mula2 pakai saya macam tak suka sebab agak keras tilam foam tu, siap cakap dengan hubby biar saya tidur kat bilik sebelah je la, nak tilam lama, boleh melantun2 kah3.. Tapi hubby tak bagi, dia kata siapa nak teman dia tidur nanti cewah. Hookey, tidur je la sampai la kandungan saya 35 minggu sekarang, alhamdulillah tidur lena, tak pernah dapat sakit belakang/pinggang lagi. Saya pun tak beli maternity pillow yang bentuk macam udang tu (dalam hati memang nak tapi mahal la rasa..T_T). Saya just pakai bolster biasa tapi yang lembik tu. Bila peluk, tangan dan bahu rasa selesa, perut ampu kan sedikit pakai tengah2 bolster tu dan kaki melingkar kat sebelah bawah bolster. Haa kira ni la maternity pilllow saya ye kih3. Masa beli tilam ni dapat free bantal dua biji. Bantal jenis yang ade contour tu, foam jugak. Alhamdulillah, maybe ni faktor saya tak kena sakit pinggang kot, sebab posture masa tidur betul. Wallhualam ;p

Masalah kepanasan masa mengandung memang menjadi2 kebelakangan ni. Dulu masa awal2 mengandung siap kaki tangan sejuk2.. Sekarang memang kalau berdua je dengan hubby kat rumah, saya akan pakai yang paling simple seboleh2nya *haa, paham2 sendiri la ye haha..panas wehh* Selalu bukak aircond yang 2HP kat ruang tamu tu, 27C pun saya dah gigil2..sekarang memang pasang 24-25C baru tak berpeluh2. Lantak la bil letrik hujung bulan melambung, janji saya tak emosi sebab rasa badan panas melekit2 dengan peluh hehe. Lagi pun time mengandung hujung2 ni je, lepas ni kena jimat letrik balik yeee ;pp Tidur pun sekarang pasang aircond tapi slow je lah buat2 bagi tidur lena je. Alhamdulillah, berkat tidur lena, anak mommy pun syok tidur dalam perut yee hehe. Tu yang die gemuk tu ;p

So far saya tiada masalah sembelit teruk. Kadang2 je kena, tu pun sebab tahan buang air besar lebih sehari, haa memang akan sembelit sikit lah jawab nya next day or next two days itu.. Sepanjang 35 minggu ni, pernah kena sembelit sampai buang air besar berdarah sekali je, masa 32 minggu tak silap. Biasa memang buang air besar hari2 dan smooth je. Maybe sebab saya banyak minum air masak kot. Pergi kerja memang tak sah kalau tak bawa 1.5L mineral water dan habis kan before 5pm. Malam minum lagi. Saya buah2 ni kurang sikit haha..sayur pun memilih2 jugak..aduii anak mommy jangan ikut perangai mommy ni ye hihi.

Perut dah berat, terasa sejak 32 minggu. Nak bangun lepas duduk tu memang alahaii, kena ampu perut baru boleh. Nak jalan lepas bangun kena slow2, selangkah dua dulu, then baru kurang rasa berat ni..memang sabar aje lah..sebab saya ni dah biasa aktif dan jalan pun nak laju je kerjanya ;P Dulu bila tengok orang mengandung, saya selalu fikir, nanti taknak lah jalan slow sangat, nanti orang tengok kita macam anak gajah comel plak jalan slow2 haha..tapi memang merasaaa la saya sekarang..tapi bila dah 35 minggu ni, perut ada rasa ringan sikit. Ntah la ye, baby da masuk ke bawah ke?? wallahualam..mungkin..

Barang2 baby mommy dah packing masuk dalam beg. Saya bawa baju, pampers, sapu tangan, barut, kain bedung, tuala baby, bedak dan losyen(ahh yang last ni perlu ke hehe). Barang mommy belum packing lagi, baru je nak kemas minggu ni. Beg pink nike mommy masa zaman anak dara tu macam elok lagi, ahh pakai tu je lah..jimat sikit. Tapi sebab selalu balik kampung, beg tu asyik digunakan je. So saya plan nak asingkan barang2 saya untuk bawa ke hospital nanti dalam bilik tetamu, so kalau apa2 jadi, hubby tahu nak ambil kat mana semua.

Friday, 9 January 2015

Pendarahan ketika mengandung (2)

Salam kepada semua pembaca ;)

Saya nak ceritakan pengalaman saya bleeding yang seterusnya.

Masa minggu ke 26, saya balik kampung. Masa tu adik saya keluar bersama suaminya, tak ingat ke mana. Tapi mama saya minta tolong saya untuk mandikan anak buah saya yang ketika itu berusia 9 bulan. Tapi beratnya takdelah berat sangat, dalam 6 kg lebih gitu. Saya pun dengan gembira dan selambanya mandikan la si budak kecik ni. Masa angkat dia lepas mandi tu, saya perasan ada macam sakit sikit bahagian perut saya di bawah. Mungkin budak ni dah berat, tu je saya fikir. Hehe. Tengok2 mas nak mandi maghrib tu, seluar dalam saya ada lagi brownish spottting. Hubby ada dengan saya dalam bilik masa tu. Dia check seluar panjang saya, pun turut ada brownish reddish spotting. Apa lagi menggelabah lagi la kami. Kenapa smpai ke seluar panjang saya pun ada? Saya fikir positif je, maybe sebab daya tidak pakai pantiliner, jadi darah tu seolah2 nampak banyak sampai tembus ke seluar. *okay2, tarik nafas dalam dan relax, jangan stress2, nanti hormon imbalance, baby pun ada effectnya*. Hubby tanya nak pergi hospital tak, tapi saya cakap tengok esok dulu la macamana, lagi pun saya ada ras baby gerak2 ni. Maksudnya dia selamat la tu *nak sedapkan hati je*. Esoknya saya pergi kerja macam biasa. Alhamdulillah sudah tiada bleeding lagi. Jadi saya dan hubby takdelah pergi ke hospital untuk check. Saya assume maybe saya angkat anak buah saya heri tu kot, so ade pressure sikit dalam perut..pun nak sedapkan hati jugak..

Semuanya okay2 sahaja, dan saya pun tunggu appointment di klinik pakar O&G pada minggu ke 28. Baby gerak okay, tiada pendarahan atau sakit perut. Saya dah bagitahu incharge di tempat kerja saya yang saya ada temujanji pada hari isnin. Weekend before tu, saya dan hubby balik kampung hubby di johor. Elok saja pagi ahad tu sarapan nasi lemak, baca paper relax2..hari ahad kan, kami bermalas2an saja kat rumah. Tengahari mak mertua masakkan nasi ayam. Air pulak air cocktail (buah campuran yang dalam tin tu). Hubby duduk sebelah, dia usha saja apa saya makan. Katanya ada nenas dalam tu, jangan makan pulak. Saya cakap ala sikit je, lagi pun ni kan nenas da proses, bukan nenas muda ke apa..bagi la saya rasa sikit. Mak mertua pun cakap takpe kalau nenas da proses, jangan nenas baru.. So hubby pun tak boleh nak cakap apa..dan saya pun makan nenas tu dengan gembiranye hehe..tapi takde lah banyak ,ade lah 6-7 ketul kecik tu..

Petang tu kami pun balik ke rumah di Melaka. Perjalanan ada lah dalam 3 jam ikut highway. Masa di RnR pagoh, hubby stop kejap katanya nak pergi tandas. Saya takde pun rasa nak buang air tapi nak ikut jugak. haha . So saya pergi ke tandas, buang air kecil, masa pakai tisu dan nak buang tu, tengok kenapalah ada tisu berdarah dalam tong sampah ni..tengok2 balik, itu adalah TISU SAYA yang saya sedang pegang !! Ya Allah, saya memang tak percaya mas tu. saya toleh ke toilet bowl, saya lihat memang penuh darah merah segar dalam tu. Saya rasa macam nak pengsan sebab terlalu terkejut. Memang ni darah saya. Darah daripada rahim, bukan daripada salur buang air besar atau salur kencing! Ya Allah, dugaan apakah ini.. ketika itu saya berperang dengan perasaan sendiri. Takut kehilangan bayi comel ini..nauzubillah..

Saya cuci bersih2, pakai balik panties with pantiliner. Saya keluar perlahan2 dari tandas dengan muka pucat lesi. Cepat2 la jumpa hubby sebab dah gabra sangat ni. Masa berjalan tu, saya rasa macam ade gumpalan besar dan panas berpusu2 nak turun daripada miss V. Astagfirullahalazim.. Serious saya fikir itu memang bayi saya punya uri. Saya cepat2 tarik tisu gulung daripada tandas tu, tarik banyak2 dengan tangan menggeletar. Mata dah berkaca2 dan sebak masa ni. Saya jalan perlahan2 dan terkepit2 ke tandas semula. Bila buka panties, ambik kau banyak gilaa darah merah segar atas pantiliner. Saya cuci semula, habis merah2 toilet bowl. Saya lipat2 tisu macam bentuk pantiliner dan saya alas atas panties. Buat tebal sikit supaya kang tak bocor atas seat kereta.

Keluar tandas, cepat2 bagitahu hubby. Terus kitorang jalan slow2 masuk kereta, dan pecut ke rumah untuk ambil buku pink, dan bertolak ke labor room hospital. Kat sana, kes saya diutamakan kerana mengancam nyawa ibu dan bayi. Mo oncall check, scan ok, uri kat atas. Baby pun ok. Dia check pakai speculum, nampak ada raw area dekat pangkal rahim saya, dan ia sedang actively slowly bleeding. Mo tu pun ambil gauze dan dia tekan lama2 kat kawasan tu, baru lah bleeding berhenti. Lepas bincang dengan pakar, dia tak benarkan saya masuk ward tapi kena duduk di observation bay labor room untuk close monitoring dan pad chart. Saya juga diberi injection untuk matangkan paru2 baby. Sakit sangat, nurse inject kat punggung. Esok tu baru saya dibenarkan masuk ward. Lepas 3 hari tiada pendarahan lagi, saya dibenarkan pulang dan diberi temujanji pada minggu ke 31 nanti.

Kesimpulannya saya didiagnos sebagai bleeding cervical ectropion (antepartum hemorrhage). Kata pakar kat sana, ectropion sangat biasa di kalangan wanita mengandung, tapi bleeding ectropion tu jarang sikit. Apatah lagi kes saya ni bleeding banyak pulak. Selau just spotting2 saja. The worst things adalah berpunca daripada cervical cancer katanya (nauzubillah) tapi memandangkan saya pernah buat pap smear sebulan sebelum disahkan pregnant adalah normal, jadi pakar kata boleh tunggu lepas bersalin nanti untuk repeat balik pap smear. Semoga Allah panjangkan umur saya dan diberi kesihatan yang baik..banyak sanat dosa rasa..belum saya habis bertaubat dan balas jasa mak bapak lagi...huhuhu...

Wednesday, 17 December 2014

Pendarahan ketika mengandung

Salam kepada semua pembaca ;)

Saya nak kongsi tentang pengalaman saya sendiri mengalami pendarahan semasa mengandung ;((
Up to this point of pregnancy (31 minggu), saya pernah 3x sejarah pendarahan, 2x masuk ward.

Pertama sekali pendarahan itu berlaku semasa kandungan saya berusia 16 minggu. Ingat lagi masa tu saya ada brownish spotting pada hari selasa, plan nya nak scan di klinik esok hari tu untuk tengok jantung baby. Spotting tu sikit je, besar duit 10 sen, memang warna coklat dan tiada darah beku. Maksudnya darah lama. Malangnya keesokkan harinya, bilangan pesakit yang hadir ke klinik terlalu ramai menyebabkan saya lupa untuk scan perut. Yang lebih teruk lagi, saya tak sempat ke tandas langsung untuk buang air. Jadi saya tidak tahu apa yang berlaku 'di bawah sana'. Saya ingatkan sudah tiada bleeding/spotting lagi. Apabila sampai rumah lepas waktu kerja, maka berlari2 lah saya mencari tandas untuk buang air kecil. Tiba2 sejuk dan ketar2 tangan saya bila lihat ada brownish spotting atas pantiliner. Kali ni memang banyak, sebesar tapak tangan. Bukan macam semalam. Ketika itu saya jadi sangat panik dan tidak keruan. Teringat pengalaman keguguran tahun lepas, pun ada brownish spotting macam ni juga. Hari2 selama 2 minggu sebelum saya disahkan keguguran. Pengalaman pertama kali pendarahan apabila masuk minggu ke 16 ni memang menakutkan saya, setelah kegembiraan tiada apa2 masalah dari awal mengandung kan.

Jadi saya pun tunggu hubby balik. Pukul 6 petang hubby sampai rumah, saya terus bagitahu dia. Dia pun gabra jugak time tu (haihh sabo je la hehe). Terus kitorang siap2 pergi ke hospital. Bawak handbag dan buku pink je. Saya dah tukar pantiliner baru masa tu. Sampai2 di hospital, pergi ke kecemasan. Dalam hati tak sudah2 saya baca zikir dan selawat, doa pada Allah minta diselamatkan dan dipermudahkan urusan. Gelabah nya tuhan je yang tahu. Disebabkan saya 16 minggu, saya dikategorikan sebagai pesakit gynae, bukan obstetrik lagi. Kalau saya dah 24 minggu ke atas, saya perlu pergi terus ke labor room hospital. (Reasonnya, if apa2 berlaku pada baby, usia kandungan 24 minggu, saya boleh bersalin dan baby mungkin boleh survive untuk hidup menggunakan ventilator. Tapi if less than 24 weeks, jika ada pendarahan, kemungkinan baby hidup peluangnya sangat tipis dan ibu2 begini biasanya dirawat sebagai 'kemungkinan keguguran' dan dichanel ke ward gynae instead of labor room).

Lepas jumpa MO di bahagian kecemasan, saya dirujuk ke bahagian PAC atau patient admission centre berdekatan dengan labor room. Di sana, saya disuruh menukar baju dan kain pink. Tekanan darah, suhu segalanya diambil. Ada doktor pelatih memasang branula di tangan kiri saya dan banyak darah diambil untuk diuji. Kemudian saya dipanggil utuk berjumpa MO. Saya ceritakan yang saya dah 2 hari ada painless brownish PV spotting. MO tu scan perut saya. Bila saya nampak jantung baby berdegup2 dan dia juga bergerak2 berenang dalam perut, saya sudah senang hati dan tak putus2 bersyukur kepada Allah.Hampir menitis air mata sebenarnya tapi saya tahankan. Dari dalam kereta tadi saya dah fikir kan macam2 kemungkinan yang menakutkan. Ya, bagi seorang ibu dan ayah yang ber TTC macam kami. Masa scan MO tu cakap uri saya sedikit ke bawah tapi belum boleh disahkan selagi usia kandungan saya belum 28 minggu. MO tu juga buat speculum kat saya, katanya bahagia cervix saya kelihatan merah2. Itu dipanggil ectropion, biasa terjadi pada ibu mengandung, disebabkan perubahan hormon. Lega sikit hati ni, sebab saya takut ada uri bawah saja. Kalau pendarahan daripada uri, nanti baby ada risiko untuk kekurangan oksigen dan zat.

Kemudian saya diadmit ke ward selama 1 hari setengah. Kesian hubby berulang alik ke rumah ambil baju dan barang saya. Disebabkan cuti dia dah nak habis, dan saya pun macam okay2 je, saya cakap tak perlu la abang EL. Esok tu lepas pakar buat round, saya minta balik dan pantau di rumah sahaja. Lagipun esok tu sudah tiada spotting lagi. Clean je pad. Alhamdulillah. Saya diberi ubat untuk kuatkan hormon mengandung iaitu progesterone. Nama nya Duphaston 10mg TDS. Saya disuruh makan ubat tu sampai baby 20 minggu. MC diberi sampai Ahad. Appointment untuk jumpa doktor balik di klnik O&G adalah pada 18 minggu.

Saya balik kampung dan rest kat sana. Ingat lagi last saya bersama suami adalah pada minggu ke 12. Jadi mungkin tiada kaitan untuk menyebabkan pendarahan ni. Saya dan suami disuruh berpuasa daripada bersama buat waktu sekarang. Saya dan hubby tak kisah janji baby ni selamat.

Saya sambung next entry untuk pengalaman saya bleeding yang seterusnya...

Saturday, 13 December 2014

Jantung baby

Salam semua pembaca ;)

Ingat tak saya kongsi pengalaman UPT positif hari tu? Masa scan tu mungkin dalm 4-5 minggu. Nampak kantung je, bulat. Disebabkan saya kerja di klinik, saya bebas untuk gunakan mesin scan tu bila2 masa saja. Jadi saya scan baby saya ni hampir tiap2 hari. Dan selama tu lah hanya nampak kantung saja. Cuma bila saya ukur, kantung tu makin mebesar setiap hari (dalam mm). Dalam kosong saja, gelap. Sedihnya hati saya Tuhan saja yang tahu. Saya takut jadi blighted ovum lagi macam masa keguguran tahun lepas.

Saya google, kantung akan dikira blighted ovum kalau besarnya dah lebih 25mm tapi tiada isi didalamnya (tiada yolk sac atau fetal echo). Saiz kantung sepatutnya bertambah 1mm setiap hari. Masa minggu ke 6 saya scan, nampak kantung saya masih kosong, tapi dia bulat. Dulu masa keguguran, kantung saya bujur dan tak membesar. Masa 8 minggu scan doktor cakap size 5 minggu lebih. Tapi mungkin conception atau persenyawaan lambat. Katanya tak perlu risau, jumpa dia untuk ulang scan dalam masa 2 minggu. Yang penting saya hamil dan patut jaga kandungan elok2. (Takpa nanti saya cerita tentang keguguran saya tu di next entry ya).

Okay berbalik kepada cerita saya buat scan di klinik tempat saya kerja tu hari2, masa tu saya dah risau sangat. Kenapa kantung kosong tapi saya dah 6 minggu. Sepatutnya dah nampak yolk sac atau nampak fetal echo (baby). Balik rumah cerita kat hubby, dia pun risau. Tapi saya cuba tenangkan perasaan sendiri sebab kalau stress nanti hormon tak balance dan susah untuk baby survive if progesterone tak cukup. Lagi pun if ada rezeki baby ni untuk kami, insyaallah Dia permudahkan.. Hari2 hubby pergi sembahyang terawih kat surau taman kami duduk tu. Tak pernah miss even kadang2 saya ajak berbuka kat luar, dia mesti nak balik cepat2 lepas tu, taknak pergi mana2 dah. Katanya nak sembahyang terawih jemaah kat surau.

Kemudian masuk kandungan saya 6 minggu 4 hari tak silap, buat pertama kalinya saya nampak fetal echo ! Alhamdulillah..saya sangat2 bersyukur. Pun terus bagitahu kat hubby. hehe. Dramatik sangat saya rasa sebab saya sangat trauma dengan keguguran lepas. Kantung kosong je. Saya pun teruskan ruti harian saya minum susu kambing n makan supplement masa sahur. Siap mintak hubby belikan UPT strip lagi sebab saya just check seminggu sekali nak tengok pekat lagi tak test line saya. Alhamdulillah masih pekat. Masa tu takda lagi morning sickness tau. So saya memang tawakal betul2 kalau ada rezeki kami kali ni adalah. Belum bagi tahu kat sesiapa lagi tentang preggy kali ni sebab belum nampak jantung baby.

Dan sebab saya cuak sangat tengok mesin scan tu, saya ambil keputusan taknak scan dah. Saya just doa banyak2 kat Allah je..berilah peluang untuk saya mengandung, melahirkan dan menjaga amanahNya ini.. Masuk minggu ke 7, saya sangat anxious. Bila tiada pesakit, masa rehat saya curi2 masuk ke bilimscan dan kunci pintu. Saya letak gel sikit atas probe dan letak kat perut. Masa ni tahan kencing, sebab nak bagi rahim kita naik sikit supaya mudah untuk scan kandungan yang masih kecil.

Ehhh, ada degup2 lah dalam fetal echo tu !!! Alhamdulillah..sekali lagi saya rasa nak sujud syukur time2 tu jugak. Ya Allah saya rasa sangat bersyukur sampai rasa nak nangis. Saya tak sangka ada nyawa lain hidup dalam rahim ini. Terus call hubby untuk inform. Dia pun cakap syukur alhamdulillah..doa dia dimakbulkan tuhan..

Rupa2nya masa hari last puasa hubby bagitahu dia gembira sebab dapat tunaikan nazar dia untuk solat terawaih jemaah full tahun ni kat surau..

Tiada kata nak gambarkan betapa saya terkejut hubby nazar macam tu.. sebab tahun lepas ada je kitorang ponteng terawih kat masjid/surau sebab buka puasa kat luar ke, tengok movie ke, pergi shopping ke..gitu lah.

Terima kasih ya Allah, Kau kurniakan kegembiraan buat kami di bulan penuh barakah ni..

Pengalaman morning sickness

Salam semua pembaca;)

Nak kongsi pengalaman saya berdepan masalah morning sickness atau alah mengandung hehe.

Saya start rasa morning sickness masa kandungan 8-9 minggu. Ingat lagi masa tu puasa Ramadhan. Kalau saya makan, lagi lah rasa meloya. Jadi memang suka sangat nak puasa haha. Missed puasa 3 hari tak silap. Sebab cirit-birit dan gastrik. Lain alhamdulillah dapat tahan sampai berbuka.

Macam saya ni bukan morning sickness. Saya rasa mual tu masa petang dan malam. Jadi masa sahur memang makan dengan selera. Saya masa mula2 mengandung minum susu kambing. Tapi ada masalah kurang darah atau anemia. Jadi tak boleh makan pil zat besi tu dengan susu kan. Paling lama at least kena gap dalam 1 jam. Tapi saya dan hubby bangun dah pukul 5 pagi. Dah minum susu kambing, makan roti ke atau nasi lauk, atau makan susu sejuk dengan cereal, dalam 540 pagi tu dah kena makan pil tambah darah. Tak dapat nak gap 1 jam sangat lah haha. Tapi Hb saya masa tu ok lagi dalam 10 ke atas.

Biasa masa dah nak dekat habis kerja 430petang gitu, dah start rasa mual. Tahan je lah. Drive balik rumah setengah jam, memang tak masak lah kan. Hubby terus beli kat bazar Ramadhan je. Apa yang saya lalu untuk makan time tu adalah macam laksa, bihun tomyam, roti john, nasi kerabu, roti naan, air asam boi atau limau ais. Tu jelah menu sepanjang puasa. Hubby beli ayam golek, ayam goreng, ayam tandoori dan apa2lah yang ayam, memang tak lalu langsung. Siap pandang pun rasa nak muntah. Hehe.. Nasi pun sama, macam benci je haha..makan pun sikit sebab nak tenaga. Tapi saya takdelah melepek je,  sebab saya tak muntah. Cuma mual saja. Alhamdulillah. Ingat lagi dulu masa keguguran, takda pun mual ke pening ke apa. Saya  pun memang tak tahu kan kandungan pertama. Siap gembira lagi  tak merasa morning sickness. Rupa2nya itu tanda kandungan saya tak kuat..kurang hormon kot, menyebabkan morning sickness pun tak wujud. Wallahualam. Setiap orang lain, ada tu kandungan sihat je walau takde morning sickness langsung ;)

Jadi rasa mual2 ni berlangsung sampai lah kandungan nak masuk 4 bulan, baru lah dia slow and kurang sikit. Masa tu dah pandai makan banyak2 hehe. Tapi sampai kandungan saya yang ketika entry ni ditulis (30 minggu) saya masih rasa mual selepas makan. Tapi tak kuat, sikit2 je. Orang kata normal. Lepas makan mesti nak carik macam gula2 ke apa2 lah untuk kunyah2 sikit. Ntah lah saya redha je, janji baby sihat ye sayang..


UPT positif - the day

Salam semua pembaca :)
Ini adalah posting pertama blog saya. Saya cipta blog ini sebab nak berkongsi suka duka pengalaman mengandung saya kali pertama (sebenarnya kali kedua sebab saya pernah miscarriage sebelum ni sobss). Sebab kita ni ibu pertama kali mengandung mesti banyak tak tahu kan. Selain tanya adik beradik atau mak atau kawan2, pakcik google ni la tempat saya menambah ilmu hehehe.

Okay jom layan macamana saya tahu saya mengandung. Hari pertama. jeng3...

Buat pengetahuan semua, saya kerja di klinik. Hari tu saya pergi kerja macam biasa. Jumpa pesakit2  di bahagian ibu mengandung dan kanak2. Kebetulan hari tu pesakit habis agak awal, jadi saya ada lebih kurang setengah jam sebelum waktu rehat tengahari. Masa tu period saya belum delay lagi tapi akan due dalam 4-5 hari lagi. Tapi bulan2 sebelum ni pun memang period saya lewat seminggu pun. Jadi takdelah kisah sangat. Sebab tiap2 bulan buat UPT negatif saja (sejak miscarriage 11 bulan lalu). Then dah malas nak pergi beli strip UPT tu sebab rasa macam membazir hahaha. Okay, berbalik kepada cerita tadi, saya pun gatal2 tangan pergi baring atas katil sebelah mesin scan tu. Letak gel sikit atas perut dan mula scan perut sendiri. Alah senang je, letak je probe scan tu atas perut, semua orang pun reti buat kan hihi. nak tengok lah kot2 nampak fibroid ke cyst ke ape2lah.

Tapi, tapi tapi..nak tahu apa saya nampak kat monitor scan tu?? Saya nampak ada bulat kecil, dalam dia kosong je gelap hitam. Setahu saya ini adalah kantung baby. Haaa???? Biar betul niii.. Gembira, panik, terharu, gelabah semua ada. Bengong tak? UPT tak buat lagi tahu2 pergi scan perut sendiri dulu. Pastu saya print gambar scan tu dan balik petang tu baru cerita kat hubby. Dia pun terkejut. ingat nak buat UPT hari yang sama tapi kedai dah tutup sebab dah malam so tunggu esok je lah. patutnya tiap2 petang kitorang pergi taman botani berdekatan untuk jogging. Tapi hari tu tak pergi sebab risau kalau betul2 mengandung kang jadi apa2 susah. Dah la saya species susah nak lekat hehe..

Esoknya petang2 sikit, pergi makmal dekat klinik tu minta UPT strip  satu. Pergi toilet dengan perasaan berdebar2 gila.  Dan... alhamdulillah keputusannya positif. Syukur sangat kepada Allah. Tak sangka Dia bagi juga kesempatan untuk saya merasa kesempatan mengandung. Double line tu sangat terang. Beza sangat masa saya keguguran dulu, UPT saya line yang lagi satu tu blur sikit tapi tunjuk kat kawan2 semua kata positif. Saya buat hari ke 2-3 delay period macam tu. Tapi yang kali ni dia punya pekat tu sama dengan control line tu. Memang pandang strip tu macam nak terkeluar bijik mata hehe.. Buat ibu2 yang TTC macam saya, tiba2 dapat tahu mengandung, diorang mungkin faham apa perasaan saya masa tu.

Malam tu solat dengan penuh rasa kesyukuran. Sejak tu saya dah tak pergi jogging  dah. Hubby je pergi kadang2. Tapi saya masih berjaga2 sebab masa scan tu nampak kantung je, belum nampak jantung lagi..isi dalam kantung tu pun tak nampak lagi. Jadi saya dan hubby ambil keputusan untuk senyap2 je lah, malas nak inform siapa2 lagi termasuk parents kami. Takut jadi macam tahun lepas je..saya masih trauma. Jadi ikut pengiraan LMP saya, masa tu saya dalam 4-5minggu kandungan. Belum ada rasa morning sickness lagi. Tunggu lagi 2 minggu dan saya akan scan perut saya sendiri hehe..bukan apa saya segan dengan staff2 klinik sebab semua tahu saya memang teringin sangat nak baby..;)